Isnin, 14 Februari 2011

Perbezaan Antara Yuran Khas, Bayaran Tambahan & Sumbangan PIBG

Menurut surat pekeliling ikthisas bil. 14/2010 yang perlu dibaca dengan surat pekeliling ikhtisas bil. 5/2009 berkaitan dengan bayaran-bayaran tambahan persekolahan menjelaskan bahawa semua Yuran Khas di semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan telah dimansuhkan berkuatkuasa 1 Januari 2008. Yuran Khas adalah yuran yang dibayar oleh ibu bapa sebanyak RM 4.50 bagi murid sekolah rendah dan RM9.00 untuk murid sekolah menengah sebelum ini.

Bayaran tambahan pula merupakan bayaran yang berperanan untuk membantu sekolah melaksanakan aktiviti tambahan. Tujuannya adalah untuk melaksanakan aktiviti dan menyediakan kemudahan tambahan dan perkhidmatan kepada para pelajar. Diantara bayaran tambahan yang dibenarkan adalah seperti berikut:
  • Kokurikulum
  • Kertas Ujian Dalaman
  • Sukan Tahunan Sekolah
  • Keg. Pend. Islam atau Pend. Moral
  • MSSM
  • Insurans takaful
Untuk mengutip bayaran tambahan tersebut, pihak sekolah dan PIBG perlulah berbincang bagi mendapatkan persetujuan dalam menentukan bayaran tambahan. Caranya adalah melalui Mesyuarat Agung PIBG ataupun Mesyuarat Jawatankuasa PIBG.

Manakala sumbangan kepada PIBG sekolah pula adalah kadar sumbangan yang ditetapkan dalam mesyuarat agung dan hanya dikenakan ke atas setiap keluarga tanpa mengira bilangan anak dan bukan dikenakan ke atas setiap murid. Hal ini boleh dirujuk melalui Peraturan-Peraturan pendidikan (persatuan Ibu Bapa Guru) 1998 perkara 5 (4) -Tujuan -tujuan dan batas-batas persatuan menyebut-".......persatuan dibenarkan mengutip apa-apa sumbangan yang diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan daripada anggota dan keputusan itu hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar...."

(Untuk bacaan lanjut bolehlah merujuk pada Buletin Pendidikan Kem. Pel. Malaysia edisi Disember 2010)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan