Isnin, 29 Jun 2009

Majlis Anugerah Cemerlang 2009

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan rahmatNya Majlis Anugerah Cemerlang telah berlangsung dengan lancar pada hari Sabtu 27 Jun 2009. Terima kasih juga kepada semua yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan majlis ini terutamanya pihak PIBG, AJK Kerja yang terdiri dari guru dan kakitangan sekolah dan tidak lupa juga pada tetamu kehormat kita pada hari tersebut iaitu YB Dato' Seri Dr Hj. Helmi Bin Hj. Yahaya Adun Teluk Bahang.

Majlis bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Pulau Pinang diikuti pula dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh adik Nur Aisya Affrina Bt M. Ariffin dan diikuti dengan ucapan oleh Tuan Guru Besar SK Balik Pulau, Tuan Hj Shaharani Bin Hj Saidin, YDP PIBG En. Zainuddin Bin M. Shariff dan ucapan oleh YB Dato' Seri Dr. Hj. Helmi Bin Hj. Yahaya.

Majlis seterusnya diteruskan dengan acara persembahan dari murid-murid pra sekolah diikuti dengan penyampaian hadiah untuk murid-murid yang mendapat kedudukan tiga terbaik di dalam kelas dan hadiah matapelajaran terbaik. Seterusnya majlis penyampaian sijil untuk murid-murid pra sekolah Aisya dan Khadijah telah dijalankan. Sebelum majlis berhenti rehat majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah untuk murid-murid yang mendapat 5A pada tahun 2008.

Majlis berhenti rehat lebih kurang pada jam 10.45 pagi dan bersambung pada jam 11.10 pagi. Persembahan nasyid disusuli selepas itu dan diikuti penyampaian hadiah untuk para pengawas sekolah dan pengawas perpustakaan dari kalangan murid darjah 6. Sebelum majlis bersurai penyampaian hadiah diberikan untuk tokoh-tokoh murid yang banyak menyumbangkan tenaga serta mengharumkan nama sekolah.









Khamis, 25 Jun 2009

Ceramah Keibubapaan

Dengan kerjasama diantara pihak PIBG dan Unit Bimbingan dan Kaunseling, satu ceramah berkaitan dengan halatuju murid-murid selepas UPSR akan diadakan pada minggu hadapan iaitu pada 2 Julai 2009 (Khamis) bermula pada jam 8.30pagi-12.00 tgh. Ceramah akan disampaikan oleh salah seorang pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Barat Daya iaitu En. Yusuf Alaudin. Selepas ceramah satu sesi perjumpaan antara guru dan ibu bapa akan diadakan. Kehadiran para ibu bapa pada hari tersebut amatlah dihargai.

Rabu, 24 Jun 2009

Kelas Tambahan Sains dan Matematik

Untuk maklumat para waris dan juga warga SK Balik Pulau, satu surat beserta borang jawapan berkaitan dengan kelas tambahan untuk matapelajaran Sains dan Matematik telah dikeluarkan kepada semua murid-murid darjah 6.

Surat tersebut adalah lebih kepada soal selidik mengenai berapa ramai ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tersebut. Apabila telah dapat jumlah yang sebenarnya bagi mereka yang berminat, satu surat lain pula akan dikeluarkan untuk pemberitahuan tentang bilakah tarikh bermulanya kelas-kelas tersebut.

Oleh yang demikian diminta kerjasama ibubapa untuk memastikan agar borang jawapan dihantar selewat-lewatnya pada hari Jumaat ini. Kerjasama semua didahului dengan ucapan terima kasih.

Isnin, 22 Jun 2009

Majlis Anugerah Cemerlang

Majlis Anugerah Cemerlang 2009 akan diadakan pada 27 Jun 2009 (Sabtu). Pada hari tersebut diwajibkan kepada semua pelajar untuk hadir kerana ianya merupakan hari ganti persekolahan. Oleh yang demikian pihak waris diharap dapat memantau akan kehadiran anak-anak mereka pada hari tersebut. Manakala pada hari Isnin 29 Jun 2009 adalah hari cuti peristiwa jadi murid-murid tidak perlu hadir ke sekolah pada hari tersebut. Sekolah akan bermula seperti biasa pada hari Selasa 30 Jun 2009. Harap maklum..

Khamis, 18 Jun 2009

Mesyuarat AJK PIBG Kali Pertama 2009

Alhamdulillah setelah sekian lama merancang maka AJK PIBG SK Balik Pulau dapat bertemu untuk membincangkan pelbagai perkara dan juga perancangan pada mesyuarat pertama ini. Mesyuarat berjalan dengan lancar dalam suasana yang mesra dan harmonis. Banyak perkara-perkara yang dibincangkan dan beberapa kata putus telah diperolehi. Diantaranya ialah:

  • PIBG bersetuju untuk membantu Cikgu Ridzuan untuk mengadakan program sempena bulan membaca.
  • PIBG juga sudi menghulurkan tangan untuk sama-sama bergandingan bahu dengan Unit Bimbingan dan Kaunseling untuk mengadakan program informasi berkaitan hala tuju anak-anak selepas UPSR dan juga perjumpaan bersama guru dan ibu bapa dalam mengeratkan silaturrahim.
  • Program kelas tambahan untuk tahun 6 juga mendapat perhatian yang utama dari pihak PIBG dan bersetuju untuk mengadakannya secepat mungkin memandangkan UPSR semakin hampir.
Kesemua AJK PIBG amat berharap apa yang telah dirancang dapat dijalankan dengan baik dan sempurna.

Sabtu, 6 Jun 2009

Scrabble Competition

Today four of our pupils represent our school in Scrabble Competition which being held in Penang State Library. They are Syahhirul Hasyraf Bin Zahari, Anis Fatiha Bt Mohd Amin, Nur Nabila Bt Mohammmad Khairri and last but not least Khairunnisa Bt Zainuddin. From the news which i've received few hours ago they did very well in the competition however they did not win. Anyway it is a good experience and exposure for them. At least they have the experience on how the competition is being carried out and hopefully they got some useful tips and information especially on how to play the scrabble and also learning new words and at the same time they will be able to enrich their vocabulary. And before i forget, i would like to thank Cikgu Saliha of her courtesy to send the pupils to the venue of the competition. Thank you n Congrats..

Isnin, 1 Jun 2009

Selamat Bercuti

Cuti sekolah datang lagi. Hari yang paling ditunggu-tunggu oleh sekelian murid (dan warga pendidik) kerana inilah masa yang boleh digunakan sebaik-baiknya untuk melepaskan penat setelah hampir 6 bulan bertungkus lumus memerah otak untuk menjawab peperiksaan, ujian dan berbagai-bagai latihan yang diberikan oleh guru. Cuti ini juga merupakan satu peluang keemasan bagi murid-murid terutamanya yang bakal menduduki UPSR untuk memantapkan lagi pemahaman terhadap pelajaran yang telah diajar dengan mengadakan ulangkaji. Berbagai-bagai kaedah dan juga cara dapat digunakan untuk mengulangkaji pelajaran diantaranya belajar secara kumpulan, menggunakan internet mahupun mengadakan latih tubi bagi matapelajaran-matapelajaran yang agak lemah. Oleh yang demikian pengelola blog ingin mengucapkan selamat bercuti dan jangan lupa membuat ulangkaji.