Isnin, 14 Februari 2011

Perbezaan Antara Yuran Khas, Bayaran Tambahan & Sumbangan PIBG

Menurut surat pekeliling ikthisas bil. 14/2010 yang perlu dibaca dengan surat pekeliling ikhtisas bil. 5/2009 berkaitan dengan bayaran-bayaran tambahan persekolahan menjelaskan bahawa semua Yuran Khas di semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan telah dimansuhkan berkuatkuasa 1 Januari 2008. Yuran Khas adalah yuran yang dibayar oleh ibu bapa sebanyak RM 4.50 bagi murid sekolah rendah dan RM9.00 untuk murid sekolah menengah sebelum ini.

Bayaran tambahan pula merupakan bayaran yang berperanan untuk membantu sekolah melaksanakan aktiviti tambahan. Tujuannya adalah untuk melaksanakan aktiviti dan menyediakan kemudahan tambahan dan perkhidmatan kepada para pelajar. Diantara bayaran tambahan yang dibenarkan adalah seperti berikut:
  • Kokurikulum
  • Kertas Ujian Dalaman
  • Sukan Tahunan Sekolah
  • Keg. Pend. Islam atau Pend. Moral
  • MSSM
  • Insurans takaful
Untuk mengutip bayaran tambahan tersebut, pihak sekolah dan PIBG perlulah berbincang bagi mendapatkan persetujuan dalam menentukan bayaran tambahan. Caranya adalah melalui Mesyuarat Agung PIBG ataupun Mesyuarat Jawatankuasa PIBG.

Manakala sumbangan kepada PIBG sekolah pula adalah kadar sumbangan yang ditetapkan dalam mesyuarat agung dan hanya dikenakan ke atas setiap keluarga tanpa mengira bilangan anak dan bukan dikenakan ke atas setiap murid. Hal ini boleh dirujuk melalui Peraturan-Peraturan pendidikan (persatuan Ibu Bapa Guru) 1998 perkara 5 (4) -Tujuan -tujuan dan batas-batas persatuan menyebut-".......persatuan dibenarkan mengutip apa-apa sumbangan yang diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan daripada anggota dan keputusan itu hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar...."

(Untuk bacaan lanjut bolehlah merujuk pada Buletin Pendidikan Kem. Pel. Malaysia edisi Disember 2010)

Ahad, 13 Februari 2011

Perlawanan Bola Sepak 7 Sebelah Piala Perpaduan











Tahniah diucapkan kepada pasukan bola sepak SK Balik Pulau yang telah menyertai pertandingan tersebut pada 12/2/2011 (Sabtu). Walaupun tidak menjuarai kejohanan tersebut namun berjaya menempatkan diri di kedudukan 8 terbaik daripada 70 pasukan yang mengambil bahagian.

Pasukan bola sepak ini juga berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir. Pada pusingan pertama, SKBP menundukkan pasukan SK Sg. Puyu dengan jaringan 3-2. Pusingan kedua pula SKBP berjaya mengalahkan SK Mutiara Perdana 2-0 dan pada pusingan ketiga SKBP menjaringkan gol menerusi sepakan penalti untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir dengan jaringan 3-2 apabila bertemu dengan SK Permatang Pasir.

Namun begitu apabila bertemu dengan pasukan SK Tok Bedu, SKBP mengalami kekalahan tipis apabila kecundangan 3-2 menerusi sepakan penalti. SKBP turut berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100.00.

Sekali lagi tahniah dan terima kasih diucapkan kepada para pemain, pengurus, jurulatih serta waris yang memberi sokongan moral dan diharapkan sokongan sebegini diteruskan pada masa yang akan datang.

Rabu, 9 Februari 2011

Majlis Maulidur Rasul 2011/1432 H

Sambutan Maulidur Rasul akan diadakan pada 11/2/2011 (Jumaat). Majlis anjuran Panitia Pendidikan Islam SKBP akan bermula pada jam 8.00 pagi-11.30 pagi di dewan serbaguna SKBP.

Tujuan diadakan majlis ini adalah untuk mengingati dan memahami kisah-kisah Rasulullah S.A.W.,mengagungkan ketinggian peribadi baginda serta melahirkan warga SKBP yang mempunyai akhlak yang mulia dan jatidiri yang tinggi.

Penceramah jemputan pada hari tersebut adalah Ustaz Ahmad Majdi Bin Yusoff. Beliau merupakan Pegawai PPD Barat Daya. Kerjasama semua warga SKBP amatlah diharapkan dalam melancarkan majlis tersebut.

Guru-Guru Praktikum Kembali

Sekolah Kebangsaan Balik Pulau dengan berbesar hati mengalu-alukan kedatangan guru-guru praktikum. Mereka merupakan guru-guru pelatih dari IPGM Kampus Pulau Pinang. Kedatangan mereka selama hampir 4 bulan ( 7 Feb- 6 Mei 2011) diharapkan dapat membantu guru-guru SKBP dalam melancarkan program-program yang bakal dilaksanakan.

Guru-guru tersebut adalah:
1. Aizatul Shairah Bt. Mat Nasir (Matematik)
2. Herdiana Bt. Abdul Hamid (Matematik)
3. Mohd. Nasrul Safwan Zaukapli (Sains)
4. Mohd. Shahrul Samsudin. (Sains)

Sabtu, 5 Februari 2011

Apakah KSSR?

KSSR merujuk kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Ianya mula diperkenalkan pada tahun 2011 bagi murid-murid tahun satu.

Tujuan KSSR diwujudkan bagi menggantikan KBSR (Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah) yang telah diguna pakai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Proses pengajaran dan pembelajaran lebih berpusatkan murid dan guru bertindak sebagai fasilitator. Pengajaran lebih berbentuk didik hibur. Tujuannya adalah untuk meningkatkan tahap kefahaman pelajar terhadap disiplin ilmu (mata pelajaran) yang diajar disamping itu, dapat juga mencungkil bakat-bakat yang terpendam serta melahirkan murid-mirid yang lebih berani dan berketrampilan.

Contohnya untuk disiplin ilmu Bahasa Malaysia, kemahiran mendengar dan bertutur akan diajar pada hari Isnin. Selasa kemahiran membaca. Rabu kemahiran menulis. Khamis aspek seni bahasa dan hari Jumaat aspek tatabahasa.

Penilaian dijalankan oleh guru di dalam kelas dalam mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid tersebut. Penilaian juga dijalankan secara formatif dan sumatif. Setiap bidang atau topik yang telah diajar akan dinilai dan diberi 'band' mengikut keupayaan tahap kefahaman para pelajar. Band-band tersebut terbahagi kepada 1 hingga 6. Band 1 merupakan band yang paling rendah manakala band 6 adalah band yang paling tinggi.

Sekiranya para waris atau ibu bapa menghadapi sebarang kemusykilan mengenai KSSR, tuan puan bolehlah melayari laman web Kementerian Pelajaran Malaysia (http://www.moe.gov.my/) untuk mendapat maklumat lanjut mengenai KSSR.

Selasa, 23 Mac 2010

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke 8

Mesyuarat Agung PIBG akan diadakan mengikut ketetapan berikut:

Hari : Sabtu
Tarikh : 27 Mac 2010
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Dewan Peperiksaan SK Balik Pulau

Kehadiran para ibu bapa dan guru amatlah dialu-alukan untuk melancarkan mesyuarat tersebut.

Jumaat, 12 Mac 2010

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah






Satu sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah telah diadakan pada hari ini, Jumaat 12 March 2010. Objektif sambutan adalah untuk menanam sifat kasih dan sayang di dalam diri warga SK Balik Pulau terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W

Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin oleh murid tahap 2. Selepas bacaan Yassin, majlis diteruskan dengan perarakan di sekitar kawasan sekolah sambil berselawat dan ceramah Maulidur Rasul oleh penceramah jemputan. Majlis bersurai kira-kira jam 11.00 pagi.

Isnin, 1 Mac 2010

Sambutan Maulidur Rasul 1431/2010






Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, SK Balik Pulau telah menghantar satu kontigen untuk menyertai acara perarakan yang bermula di padang SK Kongsi dan berakhir di Masjid Daerah Barat Daya Pulau Pinang. Perarakan tersebut telah diadakan pada 13 Rabiulawal 1431 bersamaan 27 Februari 2010 iaitu pada hari Sabtu. Kontigen berkenaan dianggotai oleh 31 orang ahli TKRS dan diketuai oleh Aisya Affrina Bt M. Ariffin. Walaupun tidak mendapat tempat pertama di dalam perarakan tersebut namun semangat serta dedikasi yang ditunjukkan amatlah dibanggakan. Terima kasih diucapkan juga kepada semua ibu bapa yang memberikan kerjasama dalam memastikan anak-anak mereka hadir ke perarakan tersebut mengikut masa yang telah ditetapkan. Adalah diharapkan kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang. InsyaAllah...