Khamis, 30 Julai 2009

Peperiksaan Percubaan UPSR (MGB P.P)

Peperiksaan tersebut telah diadakan pada minggu ini bermula pada 28, 29 dan 30 Julai 2009. Dimulai dengan kertas Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, Matematik Kertas 1 dan 2, Sains dan Bahasa Inggeris Kertas 1 dan 2. Adalah diharapkan dengan adanya peperiksaan ini, ibu bapa dan guru dapat mengetahui tahap sebenar anak-anak mereka memandangkan UPSR hanya tinggal lebih kurang sebulan sahaja. Selain itu juga tindakan boleh diambil oleh kedua-dua pihak dalam memastikan prestasi anak-anak murid dapat dipertingkatkan. Diantaranya mengenalpasti bahagian-bahagian atau subjek-subjek yang belum mereka kuasai sepenuhnya. Malahan penekanan patut diberikan kepada mereka dalam memastikan mereka berkeyakinan untuk menjawab soalan peperiksaan sebenar. Oleh yang demikian, kerjasama guru dan ibu bapa adalah kunci kejayaan para pelajar dan semoga kerjasama yang sedia terjalin akan lebih akrab dan utuh.

Jumaat, 24 Julai 2009

Program Motivasi dan Qiyamullail

Program tersebut akan diadakan di SK Balik Pulau untuk murid-murid tahun 6 sahaja. Program selama dua hari (24 dan 25 Julai 2009) bertujuan untuk memberikan motivasi dan mengupas rahsia teknik belajar yang betul dan berkesan serta meningkatkan jati diri di kalangan para pelajar agar mereka lebih bersedia untuk menempuh UPSR yang akan menjelma tidak lama lagi. Para penceramah jemputan adalah mereka yang arif dan berpengalaman di dalam bidang masing-masing. Mereka yang dimaksudkan ialah En. Mohd Fadzil Bin Mohd Ali dan Ustaz Mohd Nuruddin Bin Amiruddin. Kerjasama pihak sekolah dan juga PIBG SK Balik Pulau amatlah dihargai dalam menjayakan program tersebut terutamanya untuk kebaikan para pelajar.

Sabtu, 18 Julai 2009

Pertandingan Bercerita 2




Pada hari Jumaat 17 Julai 2009 satu pertandingan bercerita peringkat akhir telah diadakan di dewan serbaguna SK Balik Pulau. Para peserta terdiri dari murid-murid tahap 1 dan 2 yang telah melepasi saringan yang diadakan pada hari Rabu dan Khamis. Para pemenang menerima hadiah berupa trofi dan juga sijil penyertaan. Hadiah disampaikan oleh Penolong Kanan Kurikulum Pn. Hjh Rohana Bt Ibrahim.

Rabu, 15 Julai 2009

Pertandingan Bercerita

Satu pertandingan bercerita untuk tahap 1 telah diadakan pada hari ini. Pertandingan tersebut diadakan di perpustakaan SK Balik Pulau. Cikgu Ridzuan merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menyelaras pertandingan tersebut. Manakala pada esok hari pertandingan akan diteruskan untuk tahap 2. Pada hari jumaat pula bakal diadakan pertandingan bercerita peringkat akhir untuk menentukan para pemenang. Sokongan akan terus diberikan oleh pihak PIBG SK Balik Pulau dalam memastikan aktiviti sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan dalam meningkatkan mutu pendidikan para pelajar SK Balik Pulau

Selasa, 14 Julai 2009

Edible Garden 2








Seperti yang dijanjikan disini dipaparkan beberapa gambar untuk tatapan bersama. Ucapan terima kasih kepada mereka yang menjayakan projek Edible Garden ini terutamanya kepada guru-guru SK Balik Pulau dan pihak ibu bapa yang sudi menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga dan juga anak benih pokok, baja dan sebagainya.


Isnin, 13 Julai 2009

Kelas Tambahan Malam UPSR

Kelas tambahan pada waktu malam bermula dengan rasminya pada hari ini 13hb Julai 2009. Kelas bermula pada jam 8.00-9.15 malam. Diminta kerjasama ibu bapa untuk memantau kehadiran anak-anak ke kelas tersebut. Berikut adalah jadual ringkas berkaitan kelas tambahan malam UPSR:

Isnin
Bahasa Melayu Pemahaman

Selasa
Bahasa Inggeris

Rabu
Matematik

Khamis
Sains

Jumaat
Bahasa Melayu Penulisan

Kerjasama ibu bapa dan guru-guru amatlah diharapkan dalam menjayakan program ini. Terima kasih.

Ahad, 12 Julai 2009

Edible Garden

Untuk makluman semua pihak SK Balik Pulau sedang giat mengusahakan projek Edible Garden. Oleh yang demikian kepada semua warga SK Balik Pulau yang ingin menyumbang bantuan dalam bentuk anak-anak pokok (seboleh-bolehnya yang memberikan hasil dan selamat untuk dimakan), pasu-pasu baru atau terpakai, baja, penghapus serangga perosak dan sebagainya amatlah dialu-alukan. Bagi sesiapa yang belum tahu akan kewujudan taman tersebut, bolehlah melihatnya di hadapan sekolah bersebelahan pondok pengawal keselamatan. InsyaAllah gambar terkini akan dipaparkan kelak..

Sabtu, 11 Julai 2009

Mesyuarat AJK PIBG Kali Ke 2 (Kelas Tambahan Malam UPSR)

Satu mesyuarat telah diadakan pada hari Khamis 9hb Julai 2009. Mesyuarat bermula pada jam 8.15 malam dan berakhir pada jam 9.00 malam. Antara perkara yang dibincangkan ialah kelas tambahan yang akan diadakan dengan kerjasama pihak sekolah dan PIBG. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan kelas tambahan pada waktu malam bermula jam 8.00 malam-9.15 malam. Kelas tambahan ini melibatkan semua murid tahun 6. Mereka ini akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Matapelajaran-matapelajaran yang akan diajar adalah Bahasa Melayu (Pemahaman dan Penulisan), Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Kehadiran semua pelajar amatlah diharapkan.Kelas-kelas ini melibatkan tenaga semua guru-guru SK Balik Pulau. Oleh yang demikian pihak PIBG amat berterima kasih di atas pengorbanan yang dilakukan oleh para guru. Semoga apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna. InsyaAllah..

Khamis, 9 Julai 2009

Peperiksaan Percubaan UPSR

Satu siri peperiksaan percubaan UPSR untuk murid-murid tahun 6 telah diadakan di dewan peperiksaan SK Balik Pulau. Jadual peperiksaan adalah seperti berikut:

Rabu
8.00-9.15 Bahasa Melayu Kertas 1
11.00-12.15 Sains
12.15-1.00 Perbincangan kertas ujian percubaan

Khamis
8.00-8.40 Matematik Kertas 2
8.45-9.45 Matematik Kertas 1
9.45-10.05 Rehat
10.15-10.45 Perbincangan kertas ujian percubaan

Jumaat
8.00-9.15 Bahasa Melayu Kertas 2
9.20-9.40 Rehat
10.00-10.50 Bahasa Inggeris Kertas 1
11.00-12.05 Perbincangan kertas ujian percubaan

Pihak SK Balik Pulau dan juga PIBG mengucapkan selamat maju jaya dan semoga beroleh keputusan yang cemerlang.

Selasa, 7 Julai 2009

Ceramah dan Sesi Bertemu Waris/Guru

Pada hari Khamis 2hb Julai 2009 satu siri ceramah keibubapaan telah diadakan di dewan peperiksaan SK Balik Pulau. Ceramah dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis, bacaan doa oleh Ustaz Rizal Abd Rashid dan ceramah bertaju Halatuju Selepas UPSR oleh En. Yusuf Bin Alaudin. Banyak ilmu dan pengetahuan baru berkaitan dengan halatuju untuk murid-murid tahun 6 dapat diperolehi pada ceramah kali ini. Selesai sesi ceramah,diadakan pula sesi bertemu guru diantara murid dan ibu bapa untuk membincangkan masalah serta prestasi anak-anak mereka.